SEJARAH PENUBUHAN

Institut Kemahiran Baitulmal (IKB) ditubuhkan pada tahun 1991, Penubuhan ini sebagai salah satu usaha MAIWP untuk membasmi kemiskinan di kalangan keluarga Islam di Wilayah Persekutuan  Kuala Lumpur khususnya dan di Malaysia amnya dengan cara memberi mereka mengikuti latihan kemahiran yang tersusun supaya meraka boleh berdikari setelah tamat mengikuti kursus di IKB.

Idea awal penubuhan IKB telah dicetuskan oleh YB. Datuk (kini Tan Sri) Dr. Mohd Yusof Noor, Pengerusi MAIWP pada ketika itu. Hasil daripada itu, beberapa siri perbincangan telah dijalankan dengan tertubuhnya. Jawatankuasa Penubuhan Pusat Latihan yang dipengerusikan oleh YBhg. Prof. Dato’ Dr. Othman bin Haji Ishak yang kemudiannya diambilalih oleh YB Dato’(kini Tan Sri) Dr. Abdul Hamid bin Othman pada tahun 1989.

Perletakan batu asas pembinaan IKB telah dibuat pada 18 Januari 1990 dan pada 5 Disember 1990 blok pertama bangunan IKB dapat disiapkan melibatkan kos pembinaan sebanyak RM 547,579.00

Bermula pada 18 Mac 1991, IKB mula beroperasi dengan seramai 7 orang kakitangan diketuai oleh seorang pengurus. Pada ketika ini, 3 kursus ditawarkan dengan pengambilan pelatih seramai 42 orang iaitu Kursus Jahitan Pakaian Lelaki seramai 14 orang, Kursus Jahitan Pakaian Wanita seramai 16 orang dan Kursus Seni Lukis Kreatif dan Kemasan Semburan seramai 12 orang.

Pada awal penubuhannya, IKB dikenali sebagai Pusat Latihan Fakir Miskin yang kemudiannya ditukar kepada Pusat Latihan Kemahiran Baitulmal (PLKB). Melihat kepada perkembangan kursus dan tahap persijilan yang ditawarkan, maka nama tersebut ditukar kepada IKB pada tahun 1995 sempena sambutan lima tahun IKB oleh Pengerusi MAIWP pada ketika itu, YB Dato’ (kini Tan Sri) Dr. Abdul Hamid bin Othman.

Peranan IKB terus diperluaskan dengan terbinanya bangunan 4 tingkat yang disiapkan pada tahun 1994. Dengan adanya bangunan baru ini, IKB telah menambah 3 lagi kursus pada tahun 1995 iaitu Kursus Kejuruteraan Elektrik, Kursus Masakan dan Katering, dan Kursus Batik dan Cetakan Tekstil. Walau bagaimanapun, Kursus Batik dan Cetakan Tekstil hanya ditawarkan sehingga tahun 2000.

IKB dari masa ke semasa sentiasa membuat penyusunan dan penambaikan kurikulum bagi setiap kursus yang ditawarkan. Jika diawal penubuhannya para pelatih hanya mengikuti kursus selama setahun, namun bermula tahun 2004 IKB menawarkan kursus selama 2 tahun dengan penambahbaikan kepada kurikulum sedia ada disamping turut memperlengkapkan pelatih dengan pengajian Liberal yang terdiri daripada Pengajian Agama Islam, Bahasa Inggeris, Keusahawanan dan Aplikasi Komputer.

Ia turut melibatkan pertukaran nama-nama kursus yang ditawarkan dengan memberi nilai tambah kepada kursus-kursus tersebut. Kursus Jahitan Pakaian Lelaki dan Jahitan Pakaian Wanita ditukarkan kepada Kursus Rekaan Fesyen dan Pembuatan Pakaian (RFP) Lelaki dan Wanita, Kursus Seni Lukis dan Kemasan Semburan ditukarkan kepada Kursus Seni Lukis dan Seni Reka (SSR). Kursus Pendawaian Elektrik ditukarkan kepada Kursus Kejuruteraan Elektrik (KJE) manakala Kursus Masakan dan Katering ditukarkan kepada Kursus Perkhidmatan dan Penyajian Makanan (PPM).

Pada tahun 2006, IKB mula menawarkan Kursus Teknologi Binaan Bangunan bagi membolehkan generasi muda Malaysia menceburi industri pembinaan kerana sijil meraka diiktiraf oleh Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan (CIDB) Malaysia. Pelatih dari kursus ini turut dilengkapkan dengan kemahiran membuat perabut dan kelengkapan rumah sebagai nilai tambah kepada lulusan dari kursus ini.

Pihak IKB telah mengorak langkah selangkah ke hadapan apabila sijil semua kursus di IKB kini diiktiraf oleh Jabatan Pembangunan Kemahiran (JPK) di bawah Kementerian Sumber Manusia yang dahulunya dikenali sebagai Majlis Latihan Vokasional Kebangsaan (MLVK).

Para lulusan IKB diberikan Sijil Kemahiran Malaysia (SKM) Tahap 1 dan 2 yang diiktiraf oleh JPK disamping Sijil Tamat Latihan yang dikeluarkan oleh IKB sendiri. Bagi lulusan Kejuruteraan Elektrik turut mendapat pengiktirafan Suruhanjaya Tenaga (Sijil Kekompetanan Pendawai PW4). Pelatih IKB juga diwajibkan mengikuti latihan praktikal di luar IKB bagi memberi pendedahan kepada dunia pekerjaan sebenar.

Pada tahun 2012, IKB telah menawarkan SKM tahap 3 bagi kursus Jahitan Pakaian Wanita dan bermula pada tahun 2014 Kursus Jahitan Pakaian Lelaki dan Kursus Kejuruteraan ELektrik turut menawarkan SKM Tahap 3. Ia dapat membantu para pelatih dalam meningkatkan tahap kemahiran ke tahap yang lebih baik.

Bermula awal penubuhan IKB pada tahun 1991 sehingga kini IKB telah melahirkan seramai 2,234 pelatih yang telah menamatkan pengajian dengan jayanya.

Pada tahun 2012, bangunan IKB telah dinaiktaraf dengan pembinaan blok baharu.