LAWATAN VERIFIKASI PORTFOLIO DAN PENILAIAN AKHIR

08 Disember 2021– Mesyuarat Penutup Lawatan Verifikasi Portfolio dan Penilaian Akhir bagi Pelaksanaan Sistem Latihan Program Bertauliah (SLaPB) Persijilan Kemahiran Malaysia Tahap 2 Institut Kemahiran Baitulmal (IKB) diadakan secara bersemuka dengan mematuhi SOP yang telah ditetapkan. Mesyuarat telah dipengerusikan oleh En. Mohd Rodzi bin Osman selaku Pengurus Pusat Bertauliah.

Lawatan Verifikasi PPL telah berlangsung dari 7 hingga 8 Disember 2021. Unit Penilaian SLaPB , Bahagian Persijilan Kompetensi Jabatan Pembangunan Kemahiran (JPK) melantik 4 orang Pegawai Pengesah Luaran (PPL) untuk melaksanakan penilaian verifikasi terhadap 4 program iaitu Pemasangan & Penyelenggaraan Elektrik Satu Fasa, Penyediaan & Pembuatan Makanan, Jahitan Pakaian Lelaki dan Pembuatan Pakaian Wanita.

Penilaian melibatkan verifikasi portfolio dan peperiksaan akhir penilaian kertas peperiksaan teori dan peperiksaan amali pelatih. PPL bertanggungjawab memastikan tahap kualiti latihan kemahiran yang dijalankan oleh IKB memenuhi standard kemahiran yang ditetapkan dan memberi khidmat nasihat berkaitan pelaksanaan penilaian.

Verifikasi dan Peperiksaan Akhir bagi Sijil Kecekapan Kemahiran (SKK) tred Formwork juga telah diadakan bagi pelatih program Teknologi Binaan Bangunan. Peperiksaan akhir teori dan amali bagi tred Formwork dilaksanakan oleh panel lantikan daripada Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan Malaysia (CIDB). Pelaksanaan aktiviti verifikasi luaran diadakan bagi memenuhi kriteria kemahiran yang ditetapkan oleh industri pembinaan Malaysia.