PROGRAM REKAAN FESYEN DAN PEMBUATAN PAKAIAN WANITA (RFPW)


Kursus Rekaan Fesyen dan Pembuatan Pakaian Wanita (RFPW) diketuai oleh seorang Ketua Program yang dibantu oleh 3 orang tenaga pengajar. Kursus ini mula ditawarkan pada tahun 1991 dan merupakan kursus pertama semasa penubuhan awal IKB dikenali dengan nama kursus Jahitan Pakaian Wanita (JPW).
Pn. Naemah binti Md Yusof adalah satu-satunya tenaga pengajar (Jurulatih) yang telah dilantik bagi melatih kumpulan pertama yang berjumlah lebih daripada 20 orang pelatih. Sijil IKB serta Sijil Pencapaian dari Majlis Latihan Vokasional Kebangsaan (MLVK) telah dianugerahkan kepada pelatih yang menamatkan latihan dengan jayanya.
Melalui usaha berterusan Pengetua iaitu Pn. Jamilah binti Abdul Karim pada ketika itu, kursus JPW telah ditauliahkan dengan Persijilan Kemahiran Malaysia Tahap Satu (SKM 1) yang diperakukan oleh MLVK pada tahun 1995. Pengambilan pada ketika ini telah dibuat berdasarkan kapasiti dua buah kelas yang terdiri daripada JPW 1 dan JPW 2 dengan jumlah 20 orang pelatih bagi setiap kelas. Pelatih yang berjaya menamatkan latihan telah dianugerahkan Sijil IKB dan SKM 1 bagi program Pembuat Pakaian Wanita Tahap Satu.
Pada tahun 2008, nama kursus JPW telah ditukar kepada kursus Rekaan Fesyen & Pembuatan Pakaian Wanita (RFPW). Tempoh latihan juga telah dilanjutkan selama dua tahun dengan peningkatan Persijilan Kemahiran Malaysia Tahap Dua (SKM 2) bagi program Pembuat Pakaian Wanita Kanan Tahap Dua. Pelatih yang berjaya menamatkan pengajian telah dianugerahkan dengan sijil IKB dan SKM iaitu Pembuat Pakaian Wanita Tahap Satu dan SKM Pembuat Pakaian Wanita Kanan Tahap Dua. Manakala peningkatan tahap Persijilan Kemahiran Malaysia Tahap Tiga (SKM 3) telah berjaya direalisasikan pada tahun 2013 bagi program Penyelia Pembuat Pakaian Wanita Tahap Tiga. Kumpulan pertama yang telah dipersijilkan dengan SKM 3 adalah seramai 16 orang pelatih.