PROGRAM REKAAN FESYEN DAN PEMBUATAN PAKAIAN LELAKI (RFPL)


Kursus ini merupakan antara 3 kursus awal ditawarkan di IKB pada tahun 1991 yang dikenali dengan nama Kursus Jahitan Pakaian Lelaki (JPL). Kursus JPL berperanan memberi latihan asas kepada pelajar dalam penyediaan dan pembuatan pakaian lelaki. Kumpulan pertama seramai 14 pelatih (pelajar) telah mengikuti latihan dengan khidmat seorang tenaga pengajar (jurulatih) iaitu Puan Suniati binti Kamari. Kursus JPL menjalankan pensijilan IKB bagi tempoh latihan selama 1 tahun.
Pada tahun 1993, Kursus JPL mula melaksanakan pensijilan Peringkat Asas di bawah Majlis Latihan Vokasional Kebangsaan (MLVK), Kementerian Sumber Manusia dan bagi melancarkan pelaksanaan kursus, IKB telah melantik seorang Pembantu Jurulatih iaitu Encik Che Adnan bin Mohd Ali. Berdasarkan permohonan kemasukan, didapati bidang jahitan pakaian mendapat permintaan yang tinggi setiap tahun. Oleh yang demikian pada tahun 1995, IKB telah mengambil inisiatif dengan menyediakan 2 kelas kursus iaitu kelas JPL 1 dan JPL 2. Kapasiti setiap kelas adalah 20 orang pelatih. Seorang Jurulatih baharu turut dilantik iaitu Encik Affandey bin Yaakub bagi menggantikan jurulatih sedia ada yang menamatkan perkhidmatan di IKB.
Seterusnya pada 1996, Kursus JPL menerima seorang lagi Jurulatih, Puan Nor Azizah binti Abdullah dan Pembantu Jurulatih, Puan Aslinah binti Hashim untuk mengendalikan salah satu daripada kelas Kursus JPL. Tahun ini juga Kursus JPL melaksanakan pentauliahan Sijil Kemahiran Malaysia (SKM) tahap 1 bidang Jahitan Pakaian Lelaki melalui Sistem Persijilan Kemahiran Malaysia Berasaskan Standard Kemahiran Pekerjaan Kebangsaan (NOSS) MLVK.
Semakan semula dan penambahbaikan kurikulum pada tahun 2004 yang mengambil kira nilai komersial telah membawa kepada penjenamaan semula Kursus JPL kepada Kursus Rekaan Fesyen Dan Pembuatan Pakaian Lelaki (RFPL). Ini juga membawa perubahan tempoh latihan kepada 2 tahun. Pelan peningkatan tahap persijilan turut disusun yang akhirnya kursus ini berjaya mendapat pentauliahan SKM tahap 2 pada tahun 2008 dan diikuti SKM tahap 3 pada 2014.