PROGRAM KEJURUTERAAN ELEKTRIK (KJE)

Pada tahun 1994, IKB telah merangka kurikulum peringkat asas bagi Kursus Pendawaian Elektrik (PE).  Pegawai Latihan yang bertanggungjawab pada ketika itu iaitu Puan Norasmah binti Juraimi dan dibantu oleh Encik Yusriman bin Yahya.

Pada tahun 1995, pengambilan pertama pelatih bagi Kursus Pendawaian Elektrik (PE) seramai 20 orang pelatih. Pada Jun 1995, IKB menerima pegawai  baru iaitu Puan  Zaharah  binti  Ngah  Nasir menggantikan  Puan Norasmah binti Juraimi yang berhenti pada tahun tersebut. 

Bagi mempertingkatkan persijilan di IKB, satu jawatankuasa khas diwujudkan yang terdiri daripada wakil institusi kemahiran membuat penyelidikan dan pembangunan latihan kemahiran untuk kebolehpasaran kerja bagi lepasan pelatih IKB.

Pada tahun 1996, Jawatankuasa khas telah membuat keputusan bahawa tempoh kursus selama dua (2) tahun mesti dilaksanakan untuk mencapai standard kemahiran yang diperlukan dalam  pasaran kerja. Bagi tujuan tersebut IKB telah merangka kurikulum kursus dan mendapat pengesahan dari panel penasihat Unit Kurikulum MARA. Melalui Kurikulum ini pelatih PE dihantar menjalani latihan industri (On Job Training) pada Semester 3 sebagai syarat mendapat pensijilan kemahiran.

Pada tahun 1997, MLVK telah menukarkan pensijilan kemahiran kepada Sijil Kemahiran Malaysia mengikut Tahap. Disebabkan kekangan kemudahan fasiliti pembelajaran pada masa itu, kursus PE mampu melaksanakan persijilan penuh bagi Sijil Kemahiran Malaysia Tahap 1 sahaja. Manakala persijilan kemahiran Tahap 2 secara Penyata Pencapaian (PC) sahaja.

Pada tahun 2000, penjenamaan semula nama kursus Pendawaian Elektrik (PE) dilakukan dengan nama baru kursus iaitu Kejuruteraan Elektrik (KJE). Pada masa ini, kursus KJE telah berjaya melaksanakan persijilan penuh bagi Sijil Kemahiran Malaysia Tahap 1 dan Tahap 2 bagi program NOSS Juruteknik Elektrik Rendah& Juruteknik (C-051-1/2) anjuran MLVK sehingga 2003.

Pada tahun 2006, peranan MLVK diambil alih oleh Jabatan Pembangunan Kemahiran (JPK) di bawah Kementerian Sumber Manusia dan persijilan kemahiran dilaksanakan melalui sistem pentauliahan. 2006, kursus KJE telah mengorak langkah menawarkan program Perakuan Kekompetenan Pendawai Fasa Tiga dengan Endorsan Pengujian Tiga Fasa (PW4) dari Suruhanjaya Tenaga (ST).

Pada tahun 2012, JPK telah mengemaskini NOSS yang sedia ada mengikut kehendak semasa iaitu Pemasangan & Penyelenggaraan Elektrik Satu Fasa dan Pemasangan Penyelenggaraan Elektrik Tiga Fasa (EE-320-2/3). Persijilan kemahiran dianugerahkan Sijil Kemahiran Tahap 2 dan Sijil Kemahiran Tahap3. Pelatihyang memenuhi kriteria standard dianugerahkan Sijil Lulus IKB, SKM Tahap 3 dan Perakuan Kekompetenan PW4 sehingga kini.