PERUTUSAN PEMANGKU KPE

EN
Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan
Perutusan Pemangku Ketua Pegawai Eksekutif
Alhamdulillah, setinggi-tinggi kesyukuran dipanjatkan ke hadrat Ilahi kerana Institut Kemahiran Baitulmal (IKB) terus gah menabur bakti mendidik anak-anak keluarga asnaf ke arah menjadikan mereka ejen pengubah nasib keluarga.
IKB merupakan salah satu institut pendidikan di bawah MAIWP yang ditubuhkan dan beroperasi dengan dana zakat yang diterima daripada para pembayar zakat di Wilayah Persekutuan.
Sehingga kini, telah ramai pelatih lepasan IKB yang telah berjaya. Sebanyak 15% telah menjalankan perniagaan sendiri, 80% berkhidmat dalam mana-mana sektor dan mempunyai pendapatan yang baik manakala 5% lagi menyambung pengajian ke peringkat lebih tinggi. Syukur diucapkan.
Oleh itu, adalah penting untuk maklumat ini dan juga aktiviti-aktiviti IKB disebarluaskan kepada umum. Laman web IKB ini menjadi salah satu platform yang memudahkan orang ramai termasuk warga net untuk mendapatkan maklumat. Selain laman web, IKB juga turut memanfaatkan media sosial lain antaranya Facebook yang turut boleh dilayari oleh warga net.
Menerusi laman web IKB ini, pengunjung akan dibekalkan dengan informasi seperti program kemahiran yang ditawarkan, aktiviti semasa dan kemudahan-kemudahan yang disediakan. MAIWP mengalu-alukan perkongsian maklumat, pandangan dan aduan yang membina melalui laman ini demi untuk memantapkan lagi pengurusan dan perkhidmatan IKB.
Akhir kata, adalah diharapkan laman web IKB ini menjadi salah satu wadah membuktikan kepada masyarakat bagaimana zakat yang dibayar kepada MAIWP telah dimanfaatkan dalam skala yang besar iaitu melatih anak-anak asnaf dari seluruh Malaysia menerusi bidang kemahiran.
Sekian, terima kasih.
EN. MOHD NIZAM BIN YAHYA
Pemangku Ketua Pegawai Eksekutif
Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan